Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Isteri bekas Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Sharif akan bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen hari ini, selepas kerusi yang diduduki suaminya itu terpaksa dikosongkan sejurus beliau disingkir daripada jawatannya.
Pada Julai lalu, Mahkamah Agung menamatkan pemerintahan tiga penggal Nawaz dan menghalangnya daripada memegang jawatan awam susulan satu siasatan rasuah terhadap beliau dan keluarganya.
Anak perempuan Nawaz, Maryam mengetuai kempen untuk kerusi itu di barat Lahore, kubu kuat politik keluarganya bagi pihak ibunya, Kalsum yang kini dirawat di London akibat kanser tekak.
Kerusi berkenaan sudah lama dikuasai Nawaz dan sekutunya, namun pilihan raya kecil ini sebagai satu ujian terhadap parti beliau, iaitu Liga Muslim Pakistan-N (PML-N).
Parti Pakistan Tehreek-i-Insaf (PTI) pimpinan bekas pemain kriket Imran Khan, yang memainkan peranan penting dalam pemecatan Nawaz antara parti pembangkang yang meletakkan calonnya dalam pilihan raya itu.
Sementara itu, seorang calon dari Liga Muslim Milli, sebuah parti politik baharu yang disokong Jamaat-ud-Dawa, yang disenaraikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai sebuah rangkaian pengganas, turut bertanding.
Selain itu, turut bertanding sebagai calon bebas, Muhammad Yaqub Sheikh kerana pendaftaran partinya masih belum diluluskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya. - AFP
17 September 2017 - 14:10
News ID: 854749
Isteri bekas Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Sharif akan bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen hari ini, selepas kerusi yang diduduki suaminya itu terpaksa dikosongkan sejurus beliau disingkir daripada jawatannya.